
Kenangan semasa aku muda-muda dulu.
Cuba teka yang mana satu aku?
Sudah lama aku ingin menaikkan isu ini. Tetapi disebabkan selalu sahaja ada perkara lain yang perlu aku buat, membuatkan aku kerap terlupa untuk membincangkan mengenai keistimewaan pada sebuah universiti.
Sejak dari kecil lagi, kita telah ditanamkan dengan satu cita-cita iaitu untuk belajar sehingga ke menara gading, yakni universiti. Ada yang belajar bertungkus lumus, tidak tidur malam, mata bengkak-bengkak disebabkan tidak mahu ketinggalan untuk mendapatkan tempat di universiti.
Ada pula ibu bapa di kampung yang sanggup menggadaikan tanah dan harta pusaka bagi membiayai kos perbelanjaan anak mereka belajar di universiti. Dulu, memang sangat sukar untuk kita menjejakkan kaki ke universiti. Banyak pengorbanan yang perlu dilakukan.
Tetapi cuba lihat sekarang. Universiti ada di mana-mana sahaja. Mereka yang tidak mempunyai keputusan yang cemerlang pun dapat belajar di universiti. Setiap orang bila ditanya belajar di mana, mesti akan kata belajar di universiti itu, universiti ini. Seperti universiti tidak ada lagi keistimewaan kerana mudahnya untuk kita masuk ke universiti tersebut.