Di dalam Bahagian 2 sebelum ini, saya telah berkongsikan dengan anda kenapa anda perlu membuat perancangan dalam kewangan. Dalam bahagian yang seterusnya, kita akan fokus pula kepada menetapkan matlamat dalam kewangan.
Kenapa anda perlu mempunyai matlamat?
Matlamat adalah penting kerana ianya merupakan satu perkara atau objektif yang ingin anda capai apabila melaksanakan sebarang perancangan.
Tanpa matlamat anda seperti sebuah kapal yang terumbang-ambing di lautan tanpa arah tujuan. Ditiup angin ke timur, bergeraklah ia ke timur. Ditiup angin ke barat, bergeraklah ia ke barat. Bilakah anda tahu yang anda telah sampai ke destinasi? Anda sendiri pun tidak pasti, kerana anda tidak mempunyai matlamat (destinasi) tersebut.
Kepentingan perlunya anda mempunyai matlamat dalam kewangan ini dapat diringkaskan seperti berikut:
- Sebagai kayu pengukur dalam menentukan kejayaan anda
- Anda akan lebih fokus dalam melaksanakan perancangan kewangan nanti
- Dapat membantu anda dalam membuat keputusan yang terbaik dalam menyelesaikan masalah kewangan
Apakah bentuk matlamat yang ada dalam merancang kewangan?
Matlamat boleh dibahagikan kepada tiga, iaitu matlamat jangka masa pendek, matlamat jangka masa sederhana, dan matlamat jangka masa panjang.
Tempoh masa untuk setiap matlamat adalah seperti berikut:
- Jangka masa pendek – 6 bulan hingga 1 tahun
- Jangak masa sederhana – 2 hingga 3 tahun
- Jangka masa panjang – 5 hingga 10 tahun
Ini hanyalah sebagai panduan sahaja. Anda boleh mengubah tempoh masa ini mengikut kesesuaian dan perancangan anda dalam meletakkan matlamat tersebut.
Contoh matlamat saya adalah seperti berikut:
- Jangka masa pendek – Memiliki sekeping syiling dinar emas setiap suku tahun (3 bulan) dalam tahun 2011.
- Jangka masa sederhana – Dapat mengumpul bar emas sebanyak 50g pada tahun 2015.
- Jangka masa panjang – Memiliki dua buah rumah apartment atas nama sendiri pada tahun 2020.
Menetapkan matlamat kewangan dengan teknik SMART
Untuk memudahkan anda dalam menetapkan matlamat dalam kewangan, saya menyarankan anda menggunakan teknik SMART. Apa itu teknik SMART?
S – Specific (terperinci)
Matlamat yang anda ingin tetapkan mestilah specific. Anda jelas nampak apa yang anda ingin capai. Seperti contoh matlamat yang saya tunjukkan di atas tadi, saya ingin memiliki sekeping syiling dinar emas setiap suku tahun dalam tahun 2011. Apa yang specific itu? Dinar Emas. Kalau ingin lebih specific lagi, Dinar Emas GCP. 🙂
M – Measurable (boleh diukur)
Matlamat yang dibuat mestilah boleh diukur nilainya. Saya gunakan contoh matlamat jangka masa sederhana saya, ingin mengumpul bar emas sebanyak 50g pada tahun 2015. Apa yang boleh diukur dalam matlamat ini? Berat emas tersebut iaitu 50g.
A – Attainable (boleh dicapai)
Jangan membuat matlamat yang anda sendiri tahu ianya tidak boleh dicapai. Di sini anda perlu melihat sendiri keadaan anda sekarang adakah anda boleh mencapai matlamat tersebut? Jika anda rasa ianya memang tidak boleh dicapai, abaikan matlamat itu dan tetapkan matlamat yang lain. Contoh matlamat yang tidak boleh dicapai: saya ingin memiliki 1kg bar emas pada hujung tahun 2011 ini. Anda rasa, bolehkah saya mencapai matlamat tersebut dalam masa 2 bulan ini? Sudah semestinya mustahil.
R – Relevant (relevan)
Pastikan matlamat itu relevan dan realistik. Jangan menetapkan matlamat yang bukan-bukan seperti anda ingin berkahwin dengan Fasha Sanda pada tahun 2012. Melainkan anda memang saudara atau kenalan Fasha Sanda, mungkin boleh. Tetapi jika anda adalah orang biasa dan bukan dari golongan-golangan artis, ianya adalah mustahil dan tidak relevan.
T – Time Bound (tempoh masa)
Dan yang terakhir sekali adalah matlamat itu mesti mempunyai tempoh masa. Contoh matlamat jangka masa panjang saya, ingin memiliki dua buah rumah apartment atas nama sendiri pada tahun 2020. Tempoh masa dalam matlamat ini adalah tahun 2020. Jika saya tidak dapat capai matlamat tersebut pada tahun 2020, maksudnya saya gagal dalam perancangan kewangan saya.
Kesimpulan
Setelah anda mempunyai matlamat ini, simpan atau tulis matlamat tersebut di tempat yang anda boleh lihat. Anda boleh simpan di dalam handphone, atau boleh tulis di atas kertas dan tampal di dinding bilik anda. Apa yang penting, ianya mudah untuk anda rujuk bagi memastikan perancangan kewangan anda tidak lari dari matlamat yang anda telah buat tadi.
Jadi, apakah matlamat kewangan anda? Kongsikan bersama kami di ruangan komen di bawah ini.
Leave a Reply