Adakah anda bersedia untuk menyambung bahagian ke-2 dalam siri Rancang Kewangan Anda? Jika ya, jom kita sama-sama ikuti bahagian yang seterusnya – Kenapa perlu merancang kewangan?
Setiap apa yang kita buat, perlu adanya perancangan. Jika tidak, matlamat yang kita tetapkan tidak akan tercapai. Apa yang kita usahakan, hanyalah sia-sia sahaja. Perancangan juga penting bagi mengelakkan kita daripada menghadapi kesulitan atau masalah dikemudian hari.
Pentingnya merancang kewangan
Di antara sebab kenapa perlu membuat perancangan kewangan adalah:
1. Mengenalpasti perbelanjaan anda – Setiap hari anda belanja, dan mengeluarkan duit untuk membeli pelbagai barang. Di akhir bulan apa yang anda tahu duit gaji anda yang diterima pada bulan lepas telah pun habis digunakan. Tetapi ke manakah duit itu pergi? Duit anda habis, tetapi anda tidak nampak hasilnya.
Dengan membuat perancangan, anda akan dapat mengenalpasti bajet kewangan anda dan mengetahui ke mana duit itu dibelanjakan. Ini adalah penting supaya anda dapat mengurangkan perbelanjaan yang tidak penting dan hanya membelanjakan duit tersebut kepada perkara yang penting dan perlu sahaja.
2. Persediaan untuk kecemasan – Anda tidak tahu bilakah anda akan ditimpa kemalangan atau musibah. Mungkin pada esok hari, tiba-tiba kereta anda rosak dan tidak boleh dihidupkan. Untuk membaikinya pula memerlukan duit yang banyak.
Atau mungkin juga, ibu bapa anda jatuh sakit dan anda perlu balik untuk melawat mereka di kampung dengan segera. Jika anda tidak merancang duit dari awal, bagaimanakah anda hendak menghadapi situasi-situasi sebegini?
3. Merealisasikan matlamat & impian – Bergantung pada matlamat anda (akan dibincangkan dalam bahagian yang berikutnya), anda akan dapat merealisasikannya jika anda membuat perancangan kewangan dari sekarang.
Anda mungkin mempunyai impian untuk memiliki sebuah rumah sendiri pada 5 tahun akan datang. Dengan adanya perancangan, dapatlah anda mencari alternatif dan mengambil peluang yang ada bagi membolehkan anda membeli rumah tersebut dalam tempoh 5 tahun dari sekarang.
4. Menjamin masa tua – Saya ada satu soalan kepada anda. Adakah anda pasti duit KWSP yang dikumpul selama anda bekerja selama ini akan mencukupi untuk menampung kehidupan anda apabila tua nanti?
Anda sendiri pun tahu nilai mata wang semakin susut nilainya. Duit bernilai RM100,00 pada umur anda 55 tahun akan datang tidak akan sama nilainya dengan duit RM100,000 sekarang. Jadi, apakah perancangan anda untuk menghadapi masa tua nanti? Dalam bahagian ke-8 (terakhir), akan saya kongsikan tips untuk menghadapi hari tersebut.
Kesimpulan
Itu di antara sebab-sebab kenapa pentingnya kita merancang kewangan. Jika anda ada sebab yang lain, sudi-sudikanlah berkongsi dengan saya dan pembaca yang lain di ruangan komen di bawah ini.
Dalam bahagian yang berikutnya bagi siri Rancang Kewangan Anda, saya akan berkongsikan mengenai bagaimana untuk menetapkan matlamat dan target dalam kewangan. Sementara itu, apa kata anda langgan RSS feed atau newsletter blog ini secara percuma.
ohcikgu says
betul, kena pandai merancang. 🙂