Kenangan di Hari Pertama ke Sekolah

Hari ini seperti yang kita semua tahu merupakan hari pertama murid-murid Tahun 1 memasuki alam persekolahan. Pagi tadi ketika aku dalam perjalanan ke tempat kerja, kawasan perumahan aku sesak dengan kenderaan-kenderaan ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke sekolah. Dalam aku leka meredah kesibukan jalan raya di hadapan sekolah, aku terkenang di saat ketika aku berusia 7 tahun, hari pertama aku memasuki alam persekolahan di Sekolah Rendah Kebangsaan Sri Delima, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

Pada hari itu, matahari sangat terik sekali. Dengan kepulan-kepulan awan yang memutih dan berlatarbelakangkan dengan langit yang biru menampakkan keserian wajah aku yang putih gebu kerana bedak yang dipakaikan oleh emak aku sendiri. Dengan pakaian seragam sekolah yang berwarna putih dan berseluar biru, rambut yang disisir tepi rapi, aku tampak segak dan ianya diakui oleh emak aku sendiri. Budak kecil, apalah yang nak dikisahkan sangat. Lagi-lagi anak sendiri. Tidak mungkin emak akan mengatakan tidak bagi menjaga hati anaknya ini.

Sambil dipimpin oleh ayah dan emak, aku berjalan menuju ke kelas 1 Cempaka, kelas inilah yang telah mendidik aku menjadi seorang yang berilmu dan bekerjaya. Pada waktu itu, aku dapat lihat bukan aku seorang sahaja yang sedang bermanja-manja dengan ayah dan emak. Aku perhatikan, terdapat juga rakan-rakan yang sebaya dengan aku hadir bersama ke sekolah dengan ibu bapa mereka. Ada yang menangis, ada yang gembira dan ada juga yang aku lihat mereka keseorangan membawa diri seorang diri. Pada waktu itu, aku bersyukur kerana aku masih mempunyai ayah dan emak yang ada di sisi aku.

Di dalam kelas 1 Cempaka, aku berjumpa dengan rakan-rakan sedarjah yang aku kenal pada hari suai kenal yang lalu. Bertegur sapa dengan mereka, lalu aku mengambil tempat duduk aku. Dari kecil lagi aku telah dididik oleh emak untuk duduk di meja hadapan dan kalau boleh, duduk di tengah-tengah kelas. Kata emak, supaya mudah untuk mendapat ilmu. Nanti bila dah besar, boleh masuk universiti. Itulah pesan emak yang aku ingat sehingga ke hari ini.

Masih aku ingat lagi, cikgu darjah aku pada waktu itu adalah Cikgu Sarah. Beliaulah yang banyak membantu aku ketika aku bersekolah di sana. Beliaulah yang tidak putus-putus mencari idea untuk buatkan kami ceria agar gembira berada di kelas. Dan apabila cikgu masuk, ibu bapa tidak dibenarkan berada di dalam kelas. Dari celah cermin tingkap, aku dapat lihat ayah dan emak masih menunggu aku di luar. Terintai-intai memandang aku. Melihat gelagat aku.

Tidak beberapa lama selepas itu, ayah dan emak melambai-lambaikan tangan mereka kepada aku. Aku tahu, sudah tiba masanya untuk mereka meninggalkan aku di sini. Aku tidak menangis. Hati aku kuat. Hati aku cekal menahan perasaan sedih. Kerana dari kecil seusia 4 dan 5 tahun, aku telah ditinggalkan kepada datuk dan nenek aku untuk dijaga. Aku dibesarkan dengan hati yang tabah dan tidak dibelai manja seperti rakan-rakan darjah aku yang lain. Aku perhatikan sekeliling, ramai rakan-rakan aku yang mulai menangis dan ada yang teresak-esak apabila mendapati ibu bapa mereka sudah pulang. Ada juga yang berlari keluar meminta untuk dipujuk dan ada yang tersedu-sedan menahan kesedihan. Aku tergamam, tidak tahu berbuat apa-apa.

Hari itu, merupakan hari yang tidak dapat aku lupakan. Di hari pertama persekolahan itu, aku belajar untuk berkawan dengan rakan seusia yang aku tidak kenali. Pada hari pertama itu jugalah aku belajar menggunakan duit yang diberikan ayah dan emak. Duit yang diberikan hanyalah 50 sen. Dengan duit 50 sen itu, aku membeli dua ketul kuih karipap sebagai pengalas perut pada waktu rehat di kantin. Sebagai penghilang dahaga, aku meminum air yang dibekalkan emak. Habis satu botol air aku minum kerana tidak mahu membazir.

Di waktu petang apabila loceng terakhir pada hari itu berbunyi, aku dan rakan-rakan bergegas untuk pulang. Dengan beg Swan yang besar dipenuhi dengan buku teks yang pelbagai, aku galas keluar dari kelas. Aku lihat rakan-rakan yang lain sangat gembira dapat bertemu semula dengan ibu bapa mereka setelah setengah hari ditinggalkan. Aku tahu, ayah dan emak tidak menunggu menjemput aku di situ. Sebelum berangkat ke sekolah lagi mereka telah berpesan bahawa aku akan pulang dengan menaiki bas.

Dengan langkah yang pantas kerana tidak mahu ditinggalkan bas, aku berjalan menuju ke pintu belakang sekolah kerana di situlah tempat aku akan menaiki bas. Kelihatan dari jauh, beberapa buah bas sudah menunggu. Di antara bas-bas itu, terselit sebuah trak askar yang menjemput anak-anak askar yang bersekolah di situ pulang ke kem tentera. Bas yang akan aku naiki adalah bas Pak Cik Wan. Basnya yang kecil seperti bas mini itulah yang setiap hari akan berulang alik menghantar dan mengambil aku ke sekolah. Aku sangat-sangat berterima kasih kepada Pak Cik Wan di atas jasa baik beliau.

Jarak perjalanan dari sekolah ke rumah mengambil masa 30 minit. Walaupun jarak sebenar adalah dekat tetapi disebabkan bas Pak Cik Wan masuk kampung, keluar kampung, masuk taman, keluar taman melambatkan sedikit perjalanan. Pada waktu itu, aku berasa tidak sabar untuk berada di rumah. Untuk berjumpa dengan ayah aku. Untuk berjumpa dengan emak aku. Dan untuk berjumpa dengan adik-adik yang sedang menunggu kepulangan aku.

Apabila bas berhenti di hadapan rumah, aku segera turun dan berlari-lari ke pintu pagar. Di situ, kelihatan ayah dan emak sedang menunggu aku di hadapan pintu sambil ditemani adik-adik kecil aku. Berlari mendakap mereka, aku ucapkan aku sayangkan mereka semua. Seorang demi seorang pipi adik, aku cium. Rindu dalam hati terubat setelah dapat menghidu bau wangi mereka. Sambil dipimpin masuk ke dalam rumah, mulut aku tidak henti-henti menceritakan apa yang berlaku di sekolah. Satu persatu aku ceritakan kepada mereka. Ayah dan emak, mendengarkan sahaja, kerana aku, anak mereka…

Comments

    • says

      hahaha…betul tu topo, mcm novel daa…tapi satu ayat panjang gila…

      aku xberapa ingat time darjah satu dulu….biasa perkara yg sering kitA dengar, budak darjah 1 bnyk kencing dlm seluar…hahaa….itu bukan aku..

    • says

      Aah. Waktu tu la kita kenal orang yang lebih tua daripada kita. Nak tegur pun takut. Lagi2 masa tu kita darjah 1, orang tu darjah 5, 6 macam tu.

  1. Nonofyourbuisness says

    Nice but it’s to long cuz maybe kids from primary schools want to copy this essay but since it’s too long, they have to go and find another essay to copy…… but the idea is great! ( u should write a novel)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>