Blog Aku

Hanya Sekadar Blog

  • Hubungi

Kenangan di Hari Pertama ke Sekolah

04.01.2010 // 25 Comments

Hari ini seperti yang kita semua tahu merupakan hari pertama murid-murid Tahun 1 memasuki alam persekolahan. Pagi tadi ketika aku dalam perjalanan ke tempat kerja, kawasan perumahan aku sesak dengan kenderaan-kenderaan ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke sekolah. Dalam aku leka meredah kesibukan jalan raya di hadapan sekolah, aku terkenang di saat ketika aku berusia 7 tahun, hari pertama aku memasuki alam persekolahan di Sekolah Rendah Kebangsaan Sri Delima, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

Pada hari itu, matahari sangat terik sekali. Dengan kepulan-kepulan awan yang memutih dan berlatarbelakangkan dengan langit yang biru menampakkan keserian wajah aku yang putih gebu kerana bedak yang dipakaikan oleh emak aku sendiri. Dengan pakaian seragam sekolah yang berwarna putih dan berseluar biru, rambut yang disisir tepi rapi, aku tampak segak dan ianya diakui oleh emak aku sendiri. Budak kecil, apalah yang nak dikisahkan sangat. Lagi-lagi anak sendiri. Tidak mungkin emak akan mengatakan tidak bagi menjaga hati anaknya ini.

Sambil dipimpin oleh ayah dan emak, aku berjalan menuju ke kelas 1 Cempaka, kelas inilah yang telah mendidik aku menjadi seorang yang berilmu dan bekerjaya. Pada waktu itu, aku dapat lihat bukan aku seorang sahaja yang sedang bermanja-manja dengan ayah dan emak. Aku perhatikan, terdapat juga rakan-rakan yang sebaya dengan aku hadir bersama ke sekolah dengan ibu bapa mereka. Ada yang menangis, ada yang gembira dan ada juga yang aku lihat mereka keseorangan membawa diri seorang diri. Pada waktu itu, aku bersyukur kerana aku masih mempunyai ayah dan emak yang ada di sisi aku.

Di dalam kelas 1 Cempaka, aku berjumpa dengan rakan-rakan sedarjah yang aku kenal pada hari suai kenal yang lalu. Bertegur sapa dengan mereka, lalu aku mengambil tempat duduk aku. Dari kecil lagi aku telah dididik oleh emak untuk duduk di meja hadapan dan kalau boleh, duduk di tengah-tengah kelas. Kata emak, supaya mudah untuk mendapat ilmu. Nanti bila dah besar, boleh masuk universiti. Itulah pesan emak yang aku ingat sehingga ke hari ini.

Masih aku ingat lagi, cikgu darjah aku pada waktu itu adalah Cikgu Sarah. Beliaulah yang banyak membantu aku ketika aku bersekolah di sana. Beliaulah yang tidak putus-putus mencari idea untuk buatkan kami ceria agar gembira berada di kelas. Dan apabila cikgu masuk, ibu bapa tidak dibenarkan berada di dalam kelas. Dari celah cermin tingkap, aku dapat lihat ayah dan emak masih menunggu aku di luar. Terintai-intai memandang aku. Melihat gelagat aku.

Tidak beberapa lama selepas itu, ayah dan emak melambai-lambaikan tangan mereka kepada aku. Aku tahu, sudah tiba masanya untuk mereka meninggalkan aku di sini. Aku tidak menangis. Hati aku kuat. Hati aku cekal menahan perasaan sedih. Kerana dari kecil seusia 4 dan 5 tahun, aku telah ditinggalkan kepada datuk dan nenek aku untuk dijaga. Aku dibesarkan dengan hati yang tabah dan tidak dibelai manja seperti rakan-rakan darjah aku yang lain. Aku perhatikan sekeliling, ramai rakan-rakan aku yang mulai menangis dan ada yang teresak-esak apabila mendapati ibu bapa mereka sudah pulang. Ada juga yang berlari keluar meminta untuk dipujuk dan ada yang tersedu-sedan menahan kesedihan. Aku tergamam, tidak tahu berbuat apa-apa.

Hari itu, merupakan hari yang tidak dapat aku lupakan. Di hari pertama persekolahan itu, aku belajar untuk berkawan dengan rakan seusia yang aku tidak kenali. Pada hari pertama itu jugalah aku belajar menggunakan duit yang diberikan ayah dan emak. Duit yang diberikan hanyalah 50 sen. Dengan duit 50 sen itu, aku membeli dua ketul kuih karipap sebagai pengalas perut pada waktu rehat di kantin. Sebagai penghilang dahaga, aku meminum air yang dibekalkan emak. Habis satu botol air aku minum kerana tidak mahu membazir.

Di waktu petang apabila loceng terakhir pada hari itu berbunyi, aku dan rakan-rakan bergegas untuk pulang. Dengan beg Swan yang besar dipenuhi dengan buku teks yang pelbagai, aku galas keluar dari kelas. Aku lihat rakan-rakan yang lain sangat gembira dapat bertemu semula dengan ibu bapa mereka setelah setengah hari ditinggalkan. Aku tahu, ayah dan emak tidak menunggu menjemput aku di situ. Sebelum berangkat ke sekolah lagi mereka telah berpesan bahawa aku akan pulang dengan menaiki bas.

Dengan langkah yang pantas kerana tidak mahu ditinggalkan bas, aku berjalan menuju ke pintu belakang sekolah kerana di situlah tempat aku akan menaiki bas. Kelihatan dari jauh, beberapa buah bas sudah menunggu. Di antara bas-bas itu, terselit sebuah trak askar yang menjemput anak-anak askar yang bersekolah di situ pulang ke kem tentera. Bas yang akan aku naiki adalah bas Pak Cik Wan. Basnya yang kecil seperti bas mini itulah yang setiap hari akan berulang alik menghantar dan mengambil aku ke sekolah. Aku sangat-sangat berterima kasih kepada Pak Cik Wan di atas jasa baik beliau.

Jarak perjalanan dari sekolah ke rumah mengambil masa 30 minit. Walaupun jarak sebenar adalah dekat tetapi disebabkan bas Pak Cik Wan masuk kampung, keluar kampung, masuk taman, keluar taman melambatkan sedikit perjalanan. Pada waktu itu, aku berasa tidak sabar untuk berada di rumah. Untuk berjumpa dengan ayah aku. Untuk berjumpa dengan emak aku. Dan untuk berjumpa dengan adik-adik yang sedang menunggu kepulangan aku.

Apabila bas berhenti di hadapan rumah, aku segera turun dan berlari-lari ke pintu pagar. Di situ, kelihatan ayah dan emak sedang menunggu aku di hadapan pintu sambil ditemani adik-adik kecil aku. Berlari mendakap mereka, aku ucapkan aku sayangkan mereka semua. Seorang demi seorang pipi adik, aku cium. Rindu dalam hati terubat setelah dapat menghidu bau wangi mereka. Sambil dipimpin masuk ke dalam rumah, mulut aku tidak henti-henti menceritakan apa yang berlaku di sekolah. Satu persatu aku ceritakan kepada mereka. Ayah dan emak, mendengarkan sahaja, kerana aku, anak mereka…

About CypherHackz

Menulis blog sejak tahun 2005 sehingga kini. Segala yang dikongsikan di sini adalah pendapat dan pandangan peribadi penulis sahaja.

« Selamat Tahun Baru 2010
Pulangkanlah Walaupun Seutas Tali Leher »

Comments

  1. aidi-safuan says

    04.01.2010 at 9:44 pm

    wahh…nostalgik sungguh story nih.
    teringat dulu slalu tengok kat luar kelas je sebab takot mak balik umah time first day skolah

    Reply
    • CypherHackz says

      04.01.2010 at 9:45 pm

      Aah. Memang nostalgia. Masa tulis entri ni, beberapa kali juga hati ni terasa tersentuh bila terkenang balik zaman-zaman tu. ๐Ÿ™

    • khairil says

      04.07.2013 at 12:36 pm

      btul 2 btul

  2. $hera says

    05.01.2010 at 12:06 am

    sdey nye.. mcm nk nanges plak bce.. ๐Ÿ™

    Reply
    • CypherHackz says

      05.01.2010 at 12:11 am

      Hey, my gurl cannot nangis2… You must be strong like I am… ๐Ÿ˜‰

    • $hera says

      06.01.2010 at 4:55 pm

      not strong enuf lerr..
      mcm sdey je pas bce..
      pdhal mse msuk skolah kn bes.. ๐Ÿ˜€ :up:

    • CypherHackz says

      06.01.2010 at 11:23 pm

      You sekolah orang kaya… Dats why best… ๐Ÿ˜ก

  3. neo says

    05.01.2010 at 1:31 am

    Pergh,,ini karangan kasi A spm ni.

    Examiner pun boleh tersedu2 tahan nangis time cek paper ni. ๐Ÿ˜†

    Reply
    • CypherHackz says

      05.01.2010 at 1:24 pm

      Erks! Takkan la sampai macam tu sekali siap masuk exam SPM… ๐Ÿ˜ฏ

  4. x-po says

    05.01.2010 at 2:54 pm

    wah, cite ni leh dijadikan sebuah novel..pnuh dgn kenangan ๐Ÿ™‚

    Reply
    • syin says

      05.01.2010 at 6:04 pm

      hahaha…betul tu topo, mcm novel daa…tapi satu ayat panjang gila…

      aku xberapa ingat time darjah satu dulu….biasa perkara yg sering kitA dengar, budak darjah 1 bnyk kencing dlm seluar…hahaa….itu bukan aku..

    • CypherHackz says

      05.01.2010 at 7:18 pm

      Panjang sangat eh ayat dia? Hehehe… Ok, noted. Nanti next entri akan cuba memendekkan ayat2 yang panjang. ๐Ÿ˜†

    • CypherHackz says

      05.01.2010 at 7:19 pm

      Hehehe… Memang dulu masa belajar dulu memang ada niat nak tulis novel. Tapi tak kesampaian… ๐Ÿ™„

  5. ishak says

    06.01.2010 at 12:32 am

    :up: hhahaahah,teringat masa sekolah dulu best nih

    Reply
    • CypherHackz says

      06.01.2010 at 11:21 pm

      Aah. Masa zaman sekolah best bila diingat kembali. Terkenang zaman-zaman kanak-kanak dulu.

  6. Michael jakson says

    06.01.2010 at 12:35 am

    ๐Ÿ˜€ heheh,bro IP saya sama dengan ishak tu,orang sama jer hehe,ni saya punya afd..

    bro kalau ikutkan kan pada zaman sekolah dulu,rasa nak balik semula kat sekolah hehe

    Reply
    • CypherHackz says

      06.01.2010 at 11:21 pm

      AFD tu apa eh? ๐Ÿ˜•

  7. kisahsensasi says

    06.01.2010 at 9:39 am

    Pengalaman zaman skolah memang sentiasa di ingatan….

    Reply
    • CypherHackz says

      06.01.2010 at 11:22 pm

      Aah. Waktu tu la kita kenal orang yang lebih tua daripada kita. Nak tegur pun takut. Lagi2 masa tu kita darjah 1, orang tu darjah 5, 6 macam tu.

  8. wan says

    21.02.2010 at 5:44 pm

    chop ble start sekolah sri delima tahun 1994 ker

    Reply
  9. Nonofyourbuisness says

    16.08.2012 at 2:52 pm

    Nice but it’s to long cuz maybe kids from primary schools want to copy this essay but since it’s too long, they have to go and find another essay to copyโ€ฆโ€ฆ but the idea is great! ( u should write a novel)

    Reply
  10. kausalyaa says

    10.01.2013 at 10:22 pm

    this essay will give a lot of ideas to the others!!!

    Reply
  11. fiqnie fuyoo says

    09.06.2013 at 3:18 pm

    hahhha…….bestnyew citer ny..

    Reply
  12. khairil says

    04.07.2013 at 12:36 pm

    ermmm ade x karagan yng best skit …jgn terase cume tanye

    Reply
  13. ISABELLA says

    13.06.2015 at 1:29 pm

    HAHAHAHAHAHAHAHAHAHAHAHAH.BAGUS

    Reply

Leave a Reply Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Post Terkini

  • Di Manakah Kedudukan Bumi di Alam Semesta?
  • Proses Pengeluaran Akaun 2 KWSP
  • Soalan Matematik Luar Biasa, 6รท2(1+2)
  • Pentingnya Namecard dalam Membuat Networking
  • Ilmu Itu Ada Harganya yang Tersendiri

Copyright © 2006–2023 ยท Blog Aku ยท Hosted by Elfbytes Web Hosting ยท Log in