Selamat menyambut tahun baru 2012. -CypherHackz-
Jadi sekarang ini kita telah pun berada dalam Bahagian 7 untuk siri Rancang Kewangan Anda. Dalam artikel kali ini, saya ingin berkongsi dengan anda tips yang seterusnya iaitu, Simpan Sebelum Belanja.
Apakah maksud Simpan Sebelum Belanja?
Setiap kali anda dapat duit gaji, pasti anda akan membayar terlebih dahulu hutang-hutang anda, membeli keperluan harian, membeli barang-barang lain yang mungkin tidak penting, dan lain-lain lagi. Duit yang selebihnya barulah anda guna untuk simpanan.
Formula yang anda gunakan adalah,
Gaji – Belanja = Simpan
Itu pun bertuah sekiranya masih ada lagi duit lebihan dari gaji yang diterima. Sekiranya tiada duit lebihan, anda langsung tidak mempunyai simpanan pada bulan tersebut. Ini adalah formula yang tidak bagus, dan salah.
Teknik Simpan Sebelum Belanja yang saya kongsikan di sini adalah anda menyimpan dahulu, kemudian belanja. Formula yang saya gunakan adalah,
Gaji – Simpan = Belanja
Apabila anda menggunakan formula ini, anda tidak perlu risau akan wang simpanan anda. Sebelum anda mula belanja, anda telah pun mengasingkan duit simpanan anda awal-awal lagi.
Bagaimanakah cara Simpan Sebelum Belanja?
Dengan menggunakan formula yang saya kongsikan di atas, apa yang perlu anda buat hanyalah menyimpan sebahagian duit gaji anda sebelum anda menghabiskannya.
Berikut merupakan langkah yang saya pakai untuk laksanakan teknik ini.
Langkah 1: Buka satu akaun simpanan baru
Untuk mengasingkan duit simpanan daripada duit gaji, anda perlu buat satu akaun simpanan baru. Sebagai contoh, duit gaji anda dimasukkan ke dalam akaun Maybank. Buat satu akaun baru di bank CIMB (contohnya) dan masukkan duit simpanan anda ke dalam akaun tersebut setiap kali anda menerima duit gaji anda.
Langkah 2: Pindahkan 10% daripada gaji bersih
Setiap kali duit gaji anda masuk pada hujung bulan, pindahkan 10% daripada gaji bersih anda ke akaun simpanan tadi. Sebagai contoh, gaji bersih anda adalah RM2000. Duit simpanan yang perlu anda pindahkan adalah sebanyak, RM2000 x 10% = RM200.
Langkah 3: Belanjakan duit yang selebihnya
Selepas anda membuat simpanan, barulah anda belanja dan beli apa yang patut dari duit yang selebihnya. Kalau anda ingin habiskan kesemua duit itu sekali pun, habiskanlah kerana anda kini telah mempunyai duit simpanan. Tetapi saya selalunya akan menggunakan sebahagian duit tersebut untuk pelaburan dalam emas. – Rujuk laman web, Pengedar Emas atau baca ebook Rahsia Pelaburan Emas.
Sebagai kesimpulan, apa yang penting di sini adalah disiplin. Walaupun saya menggalakkan anda untuk simpan dahulu sebelum belanja, tetapi jika anda tidak disiplin, teknik ini tidak akan berjaya. Anda langsung tidak akan mempunyai duit simpanan apabila anda memerlukannya nanti. Jadi setiap kali duit gaji masuk, disiplinkan diri anda untuk memindahkan 10% duit tersebut ke dalam akaun simpanan. Tidak banyak pun, hanya 10% sahaja. Saya doakan semoga anda berjaya! 🙂
Leave a Reply